Fadhilah Rajab: Antara Realiti dan Fantasi

Posted: 23 Mei 2012 in Ibadah, Materi
Tag:, ,

Bulan Rejab: Apakah fadhilatnya melebihi dari bulan-bulan yg lain?

 

Bulan Rejab merupakan salah satu bulan dari 12 bulan-bulan Islam. Bulan Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib dan juga ada orang Islam yang berpendapat bahawa bulan inilah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad SAW. Tidak kurang juga ramai yang melihat bulan Rejab ini sebagai satu bulan spiritual di mana mereka mempertingkatkan ibadah sunat khususnya ibadah puasa.

 

Tarikan dan seruan yg ditiup ke dalam jiwa umat Islam Nusantara terutamanya untuk melakukan ibadah kebanyakannya dipengaruhi oleh penyebaran beberapa Hadith-Hadith yg mengandungi fadhilat-fadhilat beribadah di dalam bulan ini. Jelas terlihat dari segi jualan buku-buku kecil yg mengandungi fadhilat-fadhilat bulan Islam begitu laris di pasaran menjelang bulan Rejab. Begitu juga di zaman era Internet ini (ICT), e-mail dan maling list yg di forwardkan mengandungi ‘cut & paste’ dari fadhilat-fadhilat Rejab yg terkandung di dalamnya. Rata-rata tarikan fadha’il (fadhilat-fadhilat) inilah merupakan faktor penarik kepada kebiasaan orang awam untuk melakukan ibadah sunat. Injeksi faktor ini dapat kita lihat dengan jelas penerapannya di dalam budaya Melayu-Islam seperti rangkap-rangkap sya’ir di bawah ini: [1]

 

Rejab bulan menabur benih

Sya’ban bulan menyiram tanaman

Ramadhan bulan menuai

 

Rejab menyuci badannya

Sya’ban menyucikan hati

Ramadhan menyucikan rohnya

 

Rejab bulan marghfirah

Sya’ban bulan syafaat

Ramadhan bulan menggandakan kebajikan

 

Rejab bulan taubat

Sya’ban bulan muhibbah

Ramadhan dilimpahi pahala amalan seperti hujan mencurah banyaknya

 

Rejab digandakan 70 pahala

Sya’ban diganda 700 pahala

Ramadhan diganda 1000 pahala

 

Mungkin timbul beberapa persoalan yg tersimpan di dalam lubuk hati kita: Mengapa bulan Rejab sahaja yg dipilih mempunyai kelebihannya? Pernah atau tidak kita terfikir yg mungkin berita-berita ini ditokok-tambah (exaggerate) oleh manusia biasa yg bercakap atas nama Nabi SAW? Mengapa di dalam bulan ini terdapat solat-solat khas, zikir-zikir khas dan juga waktu-waktu khas untuk melakukan peribadahan? Di sini kita ingin membawa beberapa penjelasan dari ulama’-ulama’ muktabar dan kontemporari mengenai keshahihan fadhilat yg terdapat di dalam bulan itu sendiri, dan apakah sebenarnya fadhilat yg terkandung di dalam Rejab.

 

 

Bulan Rejab merupakan satu bulan daripada bulan-bulan Haram

 

Bulan Rejab merupakan salah satu dari bulan-bulan ‘Haram’ di dalam Islam. Dalilnya terdapat di dalam Firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 9:

 

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa.”

Menurut Tafsir Jalalain, yg dimaksudkan dengan “di antaranya empat bulan yg dihormati” ialah:

“Empat bulan Haram – Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.” [2]

 

Allah SWT telah mengurniakan kepada manusia 4 bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yg disepakati oleh semua ulama’ ialah Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang di dalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diugut. Di dalam bulan ini terdapatnya ibadah Haji dijalankan (Zulhijjah), di mana pada hari Arafah disunatkan bagi mereka yg tidak menunaikan haji melakukan ibadah puasa. Rasulullah SAW juga menggalakan umat Islam melakukan puasa sunat pada hari Asyura’ (10 Muharram).

Apakah terdapatnya keshahihan fadhilat khas berpuasa di dalam bulan Rejab?

 

Di sini dinyatakan pandangan para ulama’ mengenai keshahihan fadhilat Rejab.

 

1. Sheikh Atiyah Al-Saqr

 

a. Kebanyakan fadhilat Rejab terkandung di dalam Hadith yg Sangat Dha’if dan Mawdhu’

Bekas Ketua Lujnah Fatwa Al-Azhar ini mengatakan bahawa setiap fadhilat sesuatu perkara itu harus dilihat dari segi nas yg shahih dan beliau melihat bahawa Hadith-Hadith yg didatangkan mengenai fadhilat di dalam bulan Rejab kebanyakannya adalah Dha’if dan Mawdhu’, katanya: [3]

 

“Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberi fadhilat kepada beberapa bulan dan tempat, tetapi tidak tsabit untuk masa (zaman) dan untuk tempat melainkan dengan dalil yg qath’i (nyata) dan tidak tsabit sehingga tidak mendusta ke atas Nabi Muhammad SAW, dan banyak Hadith-Hadith timbul mengenai fadhilat bulan Rejab, di mana statusnya antara Dha’if (Lemah) dan Mawdhu’ (Palsu), dan tidak tsabit dari pembawanya (naqal).”

 

Menurut Al-Saqr lagi bahawa:

 

“Al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Mohammad bin Hajar Asqalaani meletakkan di dalam risalahnya dengan topiknya: Penjelasan yg datang di dalam Fadhilat Rejab, pengumpulan jumhur Hadith menyebut mengenai Fadhilat-Fadhilat Rejab, Puasa dan Solat di dalamnya. Ia dikelaskan sebagai Dha’if dan Mawdhu’.”

 

b. Fadhilat Rejab berada bersama dengan fadhilat bulan-bulan haram yg lain

Fadhilat Rejab secara umumnya berada di dalam fadhilat bulan-bulan Haram sebagaimana Firman Allah di dalam surah At-Taubah: 36, dan terdapat juga Hadith Shahihain mengenai Hijatul Wada’, di dalamnya dinyatakan nama bulan bulan tersebut, iaitu: Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram, dan yg tunggal ialah Rejab. Di masa itu umat Islam ditegah melakukan kezaliman, peperangan dan juga dilarang melakukan maksiat kepada Allah SWT.

 

c. Berpuasa hari pertama atau yg lain sama sahaja fadhilatnya

 

Berkata Al-Saqr lagi bahawa:

 

“Amalan shaleh di dalam bulan Rejab adalah sebagaimana ganjarannya di dalam bulan-bulan Haram, yg di dalamnya terdapat puasa, SAMA sahaja [berpuasa] hari pertama atau pun hari akhir. Berkata Ibnu Hajar : Sesungguhnya bagi bulan Rejab tidak terdapatnya Hadith mengenai fadhilat khas berpuasa, tidak terdapat yg Shahih atau Hasan.

 

Beliau memetik beberapa Hadith Dha’if dan Mawdhu’, di antaranya ialah:

 

i. “Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah sungai yg dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yg berpuasa satu hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu”Hadith ini Dha’if

 

ii. “Barangsiapa berpuasa sehari di dalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu bulan, dan siapa yg berpuasa di dalamnya 7 hari maka akan ditutup 7 pintu-pintu neraka, dan barangsiapa yg berpuasa 8 hari maka 8 pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barangsiapa yg berpuasa 10 hari, maka akan digantikan dosa dengan kebaikan”Hadith ini Dha’if

 

iii. Terdapat sebuah Hadith yg panjang mengandungi fadhilat berpuasa Rejab menurut hari, dan di dalamnya terkandung matan: “Rejab bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.”Hadith ini Mawdhu’

 

d. Tiada solat khas di dalam Rejab

 

Daripada Hadith yg tidak diterima (ghair maqbulah) mengenai solat:

 

“Barangsiapa yg solat Magrib di awal malam dari bulan Rejab, kemudian diikuti oleh solat 20 rakaat selepasnya, dia membaca pada setiap rakaat Al-Fatihah dan Qulhu Allahu Ahad sekali dan dia memberi salam kepadanya 10 kali salam, Allah akan menjaga dirinya, keluarganya, hartanya dan anaknya, dan akan diselamatkan dari azab kubur, dan perjalanan di sirat bagaikan boraq, tanpa hisab dan azab.”Hadith ini Mawdhu’

 

e. Menziarahi kubur pada bulan Rejab tiada nasnya

 

Mengenai fadhilat menziarahi kubur pada bulan Rejab, Sheikh Atiyah Al-Saqr mengatakan bahawa perbuatan ini tidak ada dalilnya di dalam Islam. Beliau menyarankan agar lebih elok melihat mengenai sejarah-sejarah yg berlaku di bulan Rejab dan mengambil tauladan daripadanya.

 

“Ini adalah manusia yg prihatin, dan wanita dari kumpulan tertentu, mereka menziarahi kubur pada hari Jumaat pertama di dalam bulan Rejab, tidaklah ada asalnya di dalam agama, dan tiada ganjaran yg besar daripada ziarah tersebut, dan bukanlah hari ini. Adalah lebih aula di dalam bulan Rejab ini kita mengingati kembali sejarah yg berlaku kepadanya seperti penaklukan Tabuk, mengingati Shalahuddin Al-Ayyubi yg menyelamatkan  Jerusalem (Al-Quds) dari tangan tentera Salib (Rejab 583H, 1187M). Orang Arab dan Islam menyucikan Masjid Al-Aqsa dari Ketua Pasukan Pakatan. Kita mengingati kembali peristiwa Isra’ dan Mi’raj iaitu pengajaran darinya, di mana orang Islam menganggapnya berlaku di dalam bulan Rejab. Allah yg Maha Mengetahui.”

 

 

2. Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi

 

a. Fadhilat Rejab sama dengan fadhilat bulan-bulan haram yg lain

 

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi mengatakan bahawa fadhilat Rejab adalah sama seperti yg terdapat di dalam 3 bulan-bulan Haram yg lain. Katanya [4]:

 

“Tidaklah ada keshahihan di dalam bulan Rejab, melainkan ia merupakan salah satu dari bulan-bulan haram, bahawa Allah SWT telah menyebut di dalam kitabnya – di dalamnya ada 4 bulan haram – Al-Taubah: 36. Iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijah dan Muharram. Itulah bulan-bulan yg mempunyai fadhilat. Tidak terdapat Hadith Shahih khusus yg mengatakan Rejab lebih afdhal, melainkan Hadith Hasan: Sesungguhnya Nabi SAW banyak berpuasa di dalam Sya’ban.

 

b. Hadith-hadith mengenai fadhilat Rejab kebanyakannya Dha’if dan Mawdhu’

 

Beliau juga menyatakan bahawa Hadith-Hadith mengenai fadhilat-fadhilat khas Rejab kebanyakan merupakan Hadith Mawdhu’ ataupun yg Sangat Dha’if tarafnya:

 

“Hadith ini dimaklumkan sebagai sebuah Hadith yg mengandungi fadhilat Rejab – “Rejab bulan Allah. Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.Hadith ini mungkar dan sangat-sangat Dha’if, bahkan beberapa ulama’ mengatakan Hadith ini Mawdhu’, yakni penipu. Maka bukanlah kepadanya nilai saintifik dan bukanlah mempunyai nilai agama. Di situ ada Hadith yg mengatakan terdapat fadhilat Rejab kepada sesiapa yg bersolat begini dan ia mendapat begini, dan sesiapa yg meminta beristighfar sekali kepadanya maka ia akan mendapat ganjaran begini. Ini semua adalah berlebih-lebihan, dan semuanya adalah pembohongan. Dari ini satu tanda satu penipuan di dalam Hadith yg memasukkan perkara yg berlebih-lebihan.”

 

c. Ganjaran yg dijanjikan tidak sepadan dengan amalannya

 

Pada beliau ganjaran-ganjaran yg dinyatakan di dalam Hadith Mawdhu’ itu adalah sesuatu yg berlebih-lebihan. Ini merupakan satu pendustaan yg amat besar. Menurut beliau ganjaran sesuatu ibadah itu mestilah setimpal dengan bentuk ibadah itu sendiri. Katanya:

 

“Berkata ulama’: Janji untuk mendapatkan ganjaran yg besar di atas perkara yg biasa, atau ugutan kepada azab yg pedih ke atas dosa kecil? Ia menunjukkan bahawa ini merupakan Hadith yg bohong.

 

d. Umat Islam perlu mengetahui jenis-jenis Hadith yg Mawdhu’

 

Dr. Yusuf Qaradhawi menyatakan bahawa sebagai seorang Islam kita wajib mengetahui mengenai Hadith yg diberikan kepada kita. Tiada alasan yg boleh kita berikan kerana terdapatnya buku-buku yg banyak di pasaran mengenai taraf sesuatu Hadith. Kata beliau:

 

“Ulama’ telah memberi amaran ke atas Hadith Mawdhu’ dan bohong ini, dan melarang manusia terhadapnya. Sesungguhnya telah datang Hadith: Barangsiapa mereka-reka Hadith, sesungguhnya ia menipu, maka dia adalah pembohong. (Riwayat Imam Muslim di dalam muqaddimahnya yg Shahih), tetapi mereka tidak mengetahui bahawa ia adalah Hadith Mawdhu’, maka ia wajib mengetahui Hadith itu dari mana sumbernya. Maka di sana ada Kitab Hadith yg Muktamad, di sana ada kitab khas untuk mengetahui Hadith Mawdhu’, contoh Al-Maqasid Al-Hasanah, karangan Al-Shakhaawi dsb.”

 

 

3. Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani

 

Ibnu Hajar mengatakan adalah menjadi satu kesalahan menetapkan sesuatu hari atau bulan itu khas untuk melakukan amalan. Kenyataan ini dapat di lihat di dalam fatwa Sheikh Al-Saqr [5] mengenai fadhilat Rejab, dengan memetik kata-kata Ibnu Hajar:

 

“Ibnu Hajar di dalam makalahnya ada menyebut berkenaan dengan hadith-hadith yg melarang berpuasa Rejab sepenuhnya, maka beliau berkata :

 

Larangan ini terpulanglah kepada sesiapa yg berpuasa memuliakan Jahiliyyah, sebagaimana jika dia berpuasa dengan qasad (niat) yg bukan menjadikan penekanan atau mengkhususkan mengenai hari-hari yg dia berpuasa, atau pada malam tertentu dia berqiamullail. Jika beliau percaya yg dilakukan itu adalah sunnah, maka ini adalah pekerjaan yg baik atas apa yg diletakkan dan tidak mengapa baginya. Namun jika ianya dikhaskan atau menjadi suatu ketetapan, maka ia adalah ditegah (mahzhur), dan makna penegahan itu di dalam Hadith Nabi SAW: “Jangan mengkhaskan hari Jumaat untuk berpuasa dan jangan [mengkhaskan] malamnya berqiamullail.” – Riwayat Imam Muslim.

 

Jika mempercayai puasanya atau puasa ini lebih baik dari puasa lainnya yg di dalamnya terkandung puasa nazar, Ibnu Hajar lebih cederung menegahnya, dan sebagaimana yg dinaqalkan oleh Abi Bakar Al-Thorthorshi di dalam bukunya “Bid’ah wa Hawadith” bahawa bulan Rejab dibenci olehnya kerana 3 jenis:

 

1. Sesungguhnya jika orang Islam mengkhaskan puasa di setiap hari kemuliaan awam secara tahunan.

 

2. Menjadikan ia seperti kefardhuan Ramadhan, atau menjadikan ia sunat sebagai sunat yg kekal.

 

3. Kerana puasa ini mempunyai fadhilat khas dan puasa-puasa yg lainnya
kalau dengan itu apa yg dijelaskan oleh Rasulullah SAW yg diriwayatkan dari Ibnu Dhiya: “Puasa adalah amalan kebajikan.” Tidak terdapat fadhilat berpuasa di dalam Rejab, maka perkara itu ditegah darinya. Tamat apa yg dinaqalkan oleh Ibnu Hajar.”

 

 

4. Dr. Sayyid Saabiq

 

Menurut seorang tokoh Ikhwan, Dr Sayyid Saabiq di dalam membicarakan bab puasa sunat, mengatakan bahawa:

 

“Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadhilat yg berlebih dari bulan-bulan lain, melainkan sesungguhnya ia dari bulan-bulan yg haram.”

 

Ini bermaksud bahawa bulan-bulan haram ini mempunyai fadhilat-fadhilat yg sama. Pendapat juga disokong oleh mazhab Hanbali yg mengatakan menetapkan bulan Rejab sahaja untuk berpuasa sunat adalah makruh. [6]

 

 

Hadith-hadith fadhilat Rejab yg Mawdhu’ atau Dha’if

 

Di bawah ini disenaraikan beberapa contoh hadith-hadith Mawdhu’ berkenaan dengan fadhilat Rejab: [7]

 

a. “Barangsiapa yg mengerjakan solat Maghrib pada permulaan malam Rejab kemudian dia mengerjakan 20 rakaat dengan membaca surah Al-Fatihah dan Qul Huwallahu Ahad pada tiap-tiap rakaat satu kali, dan dia memberi salam pada solat ini dengan 10 salam, maka tahukah kamu apa ganjaranya?” – Hadith ini Mawdhu’

 

* Diriwayatkan oleh Al-Jawzaqanni dari Anas, kemudian beliau berkata Hadith ini adalah Mawdhu’.

 

b. “Barangsiapa yg melakukan solat pada malam Nisfu Rejab 14 rakaat dengan membaca Alhamdu 1 kali pada rakaat, Qul Huwallahu Ahad 20 kali, Qul A’uuzu Birabbil Falaq 3 kali, Qul A’uuzu Birabbin Nas 3 kali, kemudian apabila dia selesai bersolat hendaklah ia berselawat ke atasku 10 kali dan kemudian dia bertasbih, bertahmid dan bertahlil 30 kali, maka Allah akan mengutuskan kepadanya 1000 malaikat.” – Hadith ini Mawdhu’

 

* Dalam sanadnya terdapat beberapa rawi yang majhul.

 

 

c. “Barangsiapa yg berpuasa sehari pada bulan Rejab (ganjarannya) sama dengan puasa sebulan.” – Hadith ini Sangat Dha’if

 

* Diriwayatkan oleh Al-Khathiib dari Abi Dzar.

* Dalam sanadnya ada rawi yg bernama: Al-Furaat bin As-Saaib, dia adalah seorang rawi yg matruk.

* Ibnu Hajar Al-Asqalani telah menjelaskan bahawa para ahli Hadith telah sepakat, bahawa Hadith ini diriwayatkan dari jalan Al-Furaat bin As-Saaib, sedangkan rawi ini adalah seorang yg Dha’if.

 

 

d. “Barangsiapa yg berpuasa 3 hari pada bulan Rejab, dituliskan baginya ganjaran puasa satu bulan, dan barang siapa yg berpuasa 7 hari pada bulan Rejab maka Allah tutupkan daripadanya 7 pintu-pintu api neraka. Dan barangsiapa yg berpuasa 8 hari pada bulan Rejab maka Allah membuka baginya 8 buah pintu dari pintu-pintu syurga, dan barang siapa yg berpuasa separuh dari bulan Rejab maka dia akan di hisab dengan hisab yg mudah.” – Hadith ini Mawdhu’

 

* Tidak disahkan Hadith ini kerana rawi yg bernama Abaan merupakan rawi yg matruk (dituduh berdusta).
* Selain dari itu ada rawi yg bernama Amar bin Al-Azhar yg sangat suka memalsukan Hadith.

 

 

e. “Barangsiapa yg berpuasa satu hari pada bulan Rejab dan bangun pada malam harinya mengerjakan solat malam maka Allah akan membangkitkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan aman, dan dia berjalan di atas sirat dalam keadaan Tahlil dan Takbir.” – Hadith ini Mawdhu’

 

* Dalam sanadnya ada rawi yg bernama Ismail, dia adalah seorang rawi yg suka berdusta.

 

f. “Barangsiapa yg menghidupkan satu malam dari bulan Rejab mengerjakan solat malam dan berpuasa padanya satu hari, maka Allah memberi makan kepadanya dari buah-buahan Syurga.”  – Hadith ini Mawdhu’

 

* Dalam Kitab Al-Laaly dijelaskan bahawa Hadith ini diriwayatkan oleh Hussain bin Ali. Kemudian diterangkan bahawa Hadith ini Mawdhu’.

 

 

Bagaimana beramal di dalam bulan ini?

 

a. Sheikh Mahmud As-Sya’rawi [8] di dalam menjawab satu pertanyaan mengenai “Apakah bulan dari bulan-bulan ‘am yg afdhal manusia berpuasa selepas bulan Ramadhan”, beliau memetik Hadith berikut yg diriwayatkan oleh Musnad Ahmad:

 

“Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW, katanya: Bulan mana kamu perintahkan aku berpuasa selepas Ramadhan? Maka Rasulullah SAW menjawab: Jika berpuasa selepas Ramadhan, maka berpuasalah di bulan Haram, maka sesungguhnya di dalamnya dari Taubat Allah SWT ke atas satu kaum, dan terdapat taubat di dalamnya untuk satu kaum yg lain.

 

Jelas di sini menunjukkan bulan-bulan haram ini disunatkan berpuasa dan juga terdapatnya keampunan Allah SWT di dalam bulan-bulan ini.

 

 

b. Bekas Mufti besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Bin Baaz apabila ditanya tentang berpuasa pada bulan-bulan haram, beliau menjawab [9]:

 

“Bulan Muharram dari segi syara’ dibolehkan berpuasa dengannya dan begitu juga Sya’ban, di sana terdapatnya 10 Zulhijjah, bukanlah ada dalil di sana ke atasnya, akan tetapi berpuasa dengannya TANPA ber’itiqad yg khusus (khas) atau pribadi, maka tidaklah menjadi masalah.”

Bagi bulan Allah Al-Haram tersebut, Rasulullah SAW pernah bersabda : “Seafdhal-adhfal berpuasa selepas Ramadhan ialah di bulan Allah Al-Haram.” Maka adalah baik bagi berpuasa, atau berpuasalah pada 9, 10 dan 11, itulah yg baik, begitu juga dengan Sya’ban di mana Nabi SAW berpuasa dengannya.”

 

 

c. Seorang ulama’ Islam dari negara Syria yg terkenal pada masa kini, Dr. Wahbah Az-Zuhaily mengatakan bahawa, kebanyakan iman empat mazhab (Syafi’e, Hanbali, Maliki dan Hanafi) bersetuju mengenai terdapatnya amalan berpuasa sunat di dalam bulan-bulan haram ini, cuma ia berbeza pendapat mengenai cara implementasinya.

 

Kata Dr. Wahbah Az-Zuhaily [10]:

 

“Keutamaan berpuasa pada bulan-bulan ini terdapat di sisi Mazhab Maliki dan Syafi’e, dan mazhab Hanbali berpuas hati dengan keputusan sendirinya dengan memberi keutamaan berpuasa di bulan Haram, pada mereka itulah puasa yg afdhal selepas Ramadhan. Telah bersabda Rasulullah SAW: “Seafdhal solat ialah pertengahan malam, dan seafdhal puasa selepas bulan Ramadhan ialah di bulan Allah Al-Haram. Seafdhal puada di bulan Haram ialah Hari Asyura’, sebagaimana di antaranya.” Dan berkata mazhab Hanafiah: Sunat berpuasa di dalam bulan-bulan Haram, iaitu berpuasa 3 hari dari semuanya iaitu: Khamis, Jumaat dan Sabtu.”

d. Sheikh Abdurrahman Al-Jaziry di dalam buku Kitab Fiqh Empat Mazhab [11] juga memetik persetujuan 4 mazhab ini mengenai puasa di bulan-bulan haram, katanya:

 

“Mengenai sunat berpuasa di bulan Rejab dan Sya’ban, imam-imam ini telah bersetuju dengannya, cuma terdapat khilaf dengan Hanbali. Hanbali: Menetapkan puasa Rejab (secara tunggal) adalah makruh, melainkan jika ia berbuka (tidak berpuasa) secara selang-seli, maka tidaklah makruh.”

e. Panelis fatwa IslamOnline, Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, ketika diminta memberi fatwa mengenai apakah berpuasa di dalam bulan Rejab itu sunat atau bid’ah, beliau telah menjawab [12]:

 

“Berpuasa di dalam bulan Haram adalah maqbul dan mustahab, ke atas semua perkara. Tetapi bukanlah datang dari Rasulullah SAW bahawa beliau berpuasa satu bulan penuh, melainkan pada bulan Ramadhan. Baginda banyak berpuasa di dalam bulan Sya’ban, tetapi tidak berpuasa sepenuhnya, dan itulah sunnah Nabawiyyah. Baginda berpuasa dan berbuka pada setiap bulan, seperti riwayat yg mengatakan: Baginda berpuasa sehingga kami mengatakan Baginda tidak berbuka, Baginda berbuka sehingga kami mengatakan Baginda tidak berpuasa. – Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud.

 

Maka beberapa golongan manusia yg berpuasa dalam seluruh bulan Rejab, sebagaimana yg kita lihat sebelum ini, “Aku telah lihat beberapa orang berpuasa bulan Rejab, Sya’ban, Ramadhan dan 6 hari di dalam bulan Syawal, dan menamakannya ‘Al-Ayam Al-Baidh’, selepas berbuka, mereka akan menjadi perayaan pada hari yg ke 8 dari Syawal. Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan dan 6 hari saling berhubungan, mereka hanya akan berbuka apabila tiba Hari ‘Eid.INI TIDAK DATANG DARI NABI SAW, ataupun dari para sahabat, ataupun dari As-Salaf As-Shaleh. Maka mereka berpuasa sehari dan berbuka sehari. Tidak ada berterusan di dalam puasa. Semua kebaikan adalah menurut Salaf dan keburukan adalah dari rekaan para Khalaf. Barangsiapa yg ingin ber-iitiba’ dan inginkan ganjaran, maka ia harus mengikut Nabi SAW di mana Baginda tidak berpuasa sepenuhnya di dalam Rejab, dan tidak berpuasa sepenuhnya di dalam Sya’ban. Dan ini adalah yg lebih utama. Wa Billahi Tawfiq.”

 

Beliau tegas mengatakan bahawasanya disunatkan berpuasa pada bulan-bulan Haram, tetapi tidaklah sepenuh bulan Rejab dan Sya’ban, kerana ini tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW, atau sahabat-sahabatnya ataupun para ulama’ Salaf.

 

 

Puasa-puasa sunat yg lain

 

Syeikh Muhammad Mutawali Al-Sya’rawi di dalam fatwanya [13] dalam menjawab persoalan mengenai puasa-puasa sunat, beliau telah menyenaraikan 8 jenis puasa yg beliau sifat sebagai ‘puasa yg dilakukan oleh seorang Muslim bagi mendekatkan diri kepada Allah.
Puasa-puasa sunat:

 

1. Hari Arafah (9 Zulhijjah) kepada mereka yg tidak menunaikan Haji

2. Hari Asyura’, di situ ada hari ke-9, atau mana-mana hari 9 atau 10 Muharram

3. 6 hari dalam bulan Syawal

4. Hari-hari putih di dalam bulan-bulan Arab (Islam) iaitu: hari ke-13, 14 dan 15

5. Hari Isnin dan Khamis pada setiap minggu

6. Bulan-bulan haram iaitu: Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab

7. 9 hari dalam bulan Zulhijjah, dari 1 hingga 9 Zulhijjah

8. Berpuasa penuh dalam bulan Sya’ban, atau berpuasa dengan banyaknya
Para Fuqaha’ berpendapat jika seseorang itu ingin melakukan puasa sunat tetapi dia masih mempunyai baki puasa wajib, hendaklah ia mengqadhakan puasa wajibnya. Bahkan jika ia mempunyai kifarah dan nazar, maka hendaklah dia melakukannya puasa itu dahulu. [14]

 

 

Kesimpulan

1. Kebanyakan hadith-hadith fadhilat bulan Rejab adalah Mawdhu’ (Palsu). Pendustaan terhadap Rasulullah SAW.   (Al-Saqr, Al Qaradhawi)

 

2. Kita dilarang memilih-milih hari atau malam yg tertentu sahaja untuk melakukan ibadah khusus.   (Hadith Nabi SAW)

 

3. Tiada fadhilat KHAS yg ditujukan pada bulan Rejab, yg ada cuma fadhilat umum kepada keempat-empat bulan haram.   (Al-Saqr, Al-Qaradhawi)

 

4. Tiada solat dan zikir khas untuk bulan Rejab.   (Al-Saqr, Al-Qaradhawi)

 

5. Bulan Rejab adalah seperti bulan-bulan Haram yg lain, digalakkan melakukan puasa sunat dan memperbanyakkan taubat.   (Imam As-Sya’rawi)

 

6. Kaedah berpuasa di dalam bulan-bulan haram ialah:

– hari yg ke 9, 10 dan 11 di dalam bulan Muharram.   (Syeikh Abdul Aziz bin Bazz)

– hari Khamis, Jumaat dan Sabtu.   (Mazhab Hanafi: Az-Zuhaily)

– pada bulan Rejab dan Sya’ban, tetapi tidak penuh sebulan.   (Al-Qaradhawi)

– berpuasa pada hari Asyura’ (10 Muharram) dan Hari Arafah (9 Zulhijjah).

 

7. Rejab tidak mempunyai kelebihan dari bulan-bulan yg lain, kecuali kelebihan sebagai bulan-bulan Haram.   (Sayyid Saabiq)

 

8. Tidak boleh HANYA berpuasa di bulan Rejab sahaja, manakala 3 bulan Haram yg lain tidak langsung diberi keutamaan untuk berpuasa.   (Mazhab Hanbali: Al-Jaziry)

 

9. Tiada dalil yg mengatakan bahawa menziarahi kubur dalam bulan Rejab mempunyai kelebihan.

 

10. AWASILAH dari terlibat menyebarkan hadith-hadith Mawdhu’ (Palsu), kerana ditakuti kita adalah sebahagian daripada mereka yg mendustakan Rasulullah SAW. Na’udzubillahi min dzaalik!

 

Dalam mempertingkatkan amalan-amalan kita kepada Allah SWT, seringkali kita disajikan dengan pelbagai amalan yg kelihatan seperti banyak fadhilatnya. Malah ada juga kedapatan beberapa fadhilat yg sangat rapuh dalilnya, bahkan ia menjadi pegangan sebahagian umat Islam pada hari ini. Bagi persoalan-persoalan seperti fadhilat Rejab atau bulan-bulan yg lain, kita mesti kembali kepada ‘role model’ atau contoh kita, iaitu Rasulullah SAW, sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Ahzab ayat 21:

 

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (pada waktu susah dan senang).”

 

Akhir kata, selamat menyambut kedatangan bulan-bulan Haram sebagaimana yg telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.

 

Allahu a’lam bissowab..

 

 

dr: Al-Ahkam Online – http://www.al-ahkam.net:2020/forum2/index.php

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s