Kata-kata Hikmah Orang-orang Soleh

Posted: 11 Februari 2011 in Inspirasi, Tokoh

A. SAYIDINA ABU BAKAR AS SIDDIQ

Khalifah ur Rasyidin yang pertama dan Sahabat utama Rasulullah SAW, Sayidina Abu Bakar As Siddiq pernah meninggalkan pesan, katanya:

1. Siapa yang memasuki kubur dengan tidak membawa bekalan samalah seperti orang yang belayar di lautan dengan tidak berperahu.
2. Kegelapan itu ada lima perkara dan penerangnya juga ada lima perkara iaitu:
a. Cinta dunia itu kegelapan dan penerangnya adalah taqwa.
b. Dosa itu kegelapan dan penerangnya adalah taubat.
c. Akhirat itu kegelapan, penerangnya adalah amal soleh.
d. Kubur itu kegelapan, penerangnya adalah kalimah ‘La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah.’
e. Siratul Mustaqim itu kegelapan, penerangnya adalah yakin.

3. Sesungguhnya iblis itu berdiri di hadapanmu, nafsu di sebelah kananmu, dunia di belakangmu, anggota di sekelilingmu dan Allah juga bersamamu. Iblis yang dilaknat
menyuruhmu meninggalkan agama. Nafsu menyuruhmu berbuat maksiat. Keinginan hawa nafsu menyerumu ke arah syahwat. Dunia menyeru supaya memilihnya daripada Akhirat. Anggotamu menyerumu berbuat dosa. Allah menyerumu ke Syurga dan keampunan-Nya. Siapa yang menyahut seruan iblis terkeluarlah agamanya.
Siapa yang menyahut seruan nafsu terkeluar rohnya (roh kemanusiaan). Siapa yang menyahut seruan syahwat, terkeluar akalnya. Siapa yang menyahut seruan anggota, terkeluarlah Syurganya. Siapa yang menyahut seruan Allah, terkeluarlah kejahatannya dan memperolehi segala kebaikan.

4. Sayidina Abu Bakar berkata:

Terdapat lapan perkara yang menjadi perhiasan kepada lapan perkara:
– Menjaga perkara yang haram, perhiasan kepada fakir.
– Syukur perhiasan kepada nikmat
– Sabar perhiasan kepada bala.
– Tawaduk perhiasan kepada kemuliaan.
– Berlemah lembut perhiasan kepada ilmu.
– Merendah diri perhiasan kepada orang yang bercakap.
– Meninggalkan riyak perhiasan kepada kebaikan.
– Khusyuk perhiasan kepada sembahyang.
5. Sesungguhnya hamba itu apabila datang ujub dengan sesuatu dari perhiasan dunia nescaya Allah memurkainya hingga dia menceraikan perhiasan itu.
6. Moga-moga aku jadi pokok kayu dicantas kemudian dimakan.
7. Dia berkata kepada para Sahabat:
Sesungguhnya aku telah mengendalikan urusan kamu, tetapi bukanlah aku ini orang yang paling baik di kalangan kamu maka tolonglah aku, kalau aku berlaku lurus maka ikutilah aku tetapi kalau aku menyeleweng betulkan aku.

B. SAYIDINA UMAR AL KHATTAB

1. Khalifah kedua, Sayidina Umar berpesan:

  • Siapa yang menjaga percakapannya dianugerahkan kepadanya
    hikmah.
  • Siapa yang menjaga penglihatannya dianugerahkan kepadanya
    hati yang khusyuk.
  • Siapa yang menjaga makanannya dianugerahkan kepadanya
    kelazatan dalam beribadah.
  • Siapa yang bersabar di atas ujian, Allah sempurnakan
    sabarnya lalu memasukkannya ke dalam Syurga mana
    yang dia suka.
  • Siapa yang menjaga daripada ketawa dianugerahkan
    kepadanya kehebatan.
  • Siapa yang menjaga daripada bergurau dianugerahkan
    kepadanya keelokan atau kemuliaan.
  • Siapa yang meninggalkan cinta dunia dianugerahkan
    kepadanya dapat melihat kesalahan sendiri.
  • Siapa yang meninggalkan kesibukan mencari kesalahan
    pada perbuatan Allah, dianugerahkan kepadanya pelepasan
    daripada nifak.

2. Jika tidaklah kerana takut dihisab sesungguhnya aku perintahkan kamu membawa seekor kambing untuk dipanggang di depan pembakar roti ini.
3. Siapa takut kepada Allah SWT, nescaya marahnya tidak dapat dilihat. Dan siapa takutkan Allah, kehendaknya akan ditunaikan.
4. Wahai Tuhan, jangan Engkau jadikan kebinasaan umat Muhammad SAW di tanganku.
5. Termaktub dalam sepucuk surat khalifah Umar kepada Abu Musa Al Asyaari:
“Milikilah sifat sabar. Sifat sabar itu ada dua. Sabar yang pertama lebih afdhal dari sabar yang kedua iaitu sabar dalam meninggalkan larangan Allah SWT dan sabar dalam menghadapi musibah. Ketahuilah bahawa sabar itu sangkutan iman (orang yang bersabar akan mendapat iman) kerana kebajikan yang paling utama adalah taqwa dan taqwa hanya dapat dicapai dengan sabar.”

C. SAYIDINA USMAN IBNU AFFAN R.A.

Mari kita lihat pula kata-kata hikmah daripada khalifah ketiga, Sayidina Usman Ibnu Affan r.a. Di antaranya:
1. Aku mendapat kemanisan ibadah dalam empat perkara:
a. Sewaktu menunaikan apa yang difardhukan Allah.
b. Meninggalkan apa-apa yang Allah haramkan.
c. Ketika menyeru kepada kebaikan.
d. Ketika mencegah kemungkaran dan menjaga diri daripada membuat perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah.
2. Katanya lagi: Empat perkara yang pada zahirnya fadhilat dan pada batinnya wajib:
a. Bergaul dengan orang soleh itu fadhilat, mengikut amalan mereka itu wajib.
b. Membaca Al Quran itu fadhilat, beramal dengannya itu wajib.
c. Menziarahi kubur itu fadhilat, bersedia untuknya itu wajib.
d. Menziarahi orang sakit itu fadhilat, menunaikan wasiat itu wajib.
3. Pesanannya: Antara tanda-tanda ‘arifin itu ialah:
a. Hatinya berserta takut dan harap.
b. Lidahnya bertahmid dan memuji Allah.
c. Matanya berserta malu melihat perkara yang dilarang dan banyak menangis.
d. Kehendaknya bersih dari cinta dunia dan bertujuan menuntut keredhaan Allah.

D. SAYIDINA ALI ABU TALIB K.W.

Khalifah keempat, Sayidina Ali k.w. berkata:
1. Ilmu itu sebaik-baik pusaka.
Adab itu sebaik-baik sifat.
Taqwa itu sebaik-baik bekalan.
Ibadah itu sebaik-baik barang perniagaan.
2. Siapa yang tinggalkan dunia, dikasihi oleh Allah.
Siapa yang tinggalkan dosa, dikasihi oleh malaikat.
Siapa tinggalkan tamak, dikasihi oleh orang-orang Islam.
3. Siapa yang tidak ada padanya sunnah Allah, sunnah Rasul dan sunnah wali-Nya, maka tiadalah apa-apa kebaikan padanya. Ditanya orang pada Sayidina Ali k.w., “Apakah sunnah Allah?”
Sayidina Ali menjawab, “Menyembunyikan rahsia (misalnya menutup aib orang lain).”
Ditanya lagi, “Apakah pula sunnah Rasulullah?”
Sayidina Ali berkata, “Berlemah lembut dengan sesama manusia.”
Ditanya lagi, “Apakah pula sunnah wali-Nya?”
Sayidina Ali menjawab, “(Sabar dalam) menanggung penderitaan.”
4. Susah sekali melakukan kebaikan pada empat tempat:
– Memberi maaf ketika marah.
– Bersedekah ketika kesempitan.
– Menjauhi perkara haram ketika seorang diri.
– Berkata benar kepada orang yang ditakuti atau orang
yang selalu menolong.
5. Memadai aku merasa mulia bahawa Engkau Tuhan bagiku dan memadailah aku merasa bangga bahawa aku menjadi hamba-Mu. Engkau yang aku cintai maka berilah aku taufik (agar dapat melakukan perkara-perkara yang Engkau cintai).
6. Hendaklah kamu lebih mengambil berat bagi diterima amalamal kamu daripada beramal. Sesungguhnya sangat besar nilainya amalan yang disertai taqwa dan betapa lagi kalau amalan itu diterima.
7. Janganlah mengharap seorang hamba itu melainkan Tuhannya dan janganlah dia takut melainkan dosanya.
8. Tiada kebaikan ibadah tanpa ilmu dan tiada kebaikan ilmu tanpa faham dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tiada perhatian.
9. Dasar kekafiran itu dikelilingi oleh empat tiang iaitu kasar hati, buta fikiran, lalai dan prasangka.
10. Orang berhati kasar akan menghina kebenaran, menunjukkan kejahatan dan mengutuk orang-orang pandai.
11. Buta hati akan lupa zikrullah.
12. Orang yang syak wasangka akan tertipu oleh angan-angan. Sampai masanya dia ditimpa kecewa dan sesal tidak berhujung kerana diperlihatkan Allah hal-hal yang selama ini tidak dikiranya.

E. UMAR IBNU AZIZ

  1. Orang yang bertaqwa itu dikekang.
  2. Sesungguhnya syubhat itu pada yang halal.
  3. Kemaafan yang utama itu ketika berkuasa.
  4. Khalifah Umar bin Abdul Aziz menasihati gabenor-gabenor di daerah pemerintahannya dengan katanya:
    “Kekuasaan yang berada di tangan tuan-tuan telah memungkinkan tuan-tuan menzalimi rakyat. Bila terasa di hatimu untuk menzalimi seseorang, ingatlah segera betapa besarnya kekuasaan Allah atas diri kamu.”
    “Ketahuilah bahawa satu kejahatan yang ditimpakan pada rakyat akan tetap tercatat dalam daftar dosa. Ketahuilah pula bahawa Allah SWT membela orang teraniaya terhadap yang menzaliminya.”

F. SUFFIAN AS SAURI

1. Tidak ada ketaatan kepada kedua ibu bapa pada perkara yang syubhat.
2. Ada orang yang banyak harta tapi dia zuhud. Ada pula orang yang fakir tapi dia sangat cinta dengan dunia.
3. Menuntut ilmu lebih utama daripada sembahyang sunat.

G. IMAM ASY SYAFIE

  1. Siapa yang hendakkan Akhirat, hendaklah ikhlas dalam menuntut ilmu.
  2. Tidak ada sesuatu yang lebih indah pada ulama melainkan memiliki kefakiran dan memadai apa yang ada serta redha dengan kedua-duanya.
  3. Hendaklah kamu berilmu pengetahuan sebelum kamu menjadi ketua sebab setelah menjadi ketua, tiada jalan lagi bagi kamu mencari pengetahuan.
  4. Orang yang berakal itu adalah orang yang akalnya dapat mengawal sifat-sifat mazmumah (keji).
  5. Siapa yang ingin Allah menutup kejahatannya dengan kebaikan maka hendaklah dia bersangka baik dengan manusia.

H. IMAM MALIK

  1. Bukanlah ilmu itu dengan membanyakkan riwayat tapi ilmu itu ialah cahaya yang Allah letak dalam hati.
  2. Apabila seseorang itu memuji dirinya maka hilanglah cahayanya.
  3. Orang yang benar-benar menuntut ilmu itu pasti memiliki kebesaran, ketenangan dan ketakutan.

I. IMAM ABU HANIFAH

  1. Setiap kali aku bersembahyang, aku doakan untuk guruku Hammad dan setiap orang yang aku belajar ilmu daripadanya atau aku mengajarkannya (murid-murid).
  2. Aku bergaul dengan manusia sejak 50 tahun. Aku dapati tidak ada seorang pun yang mengampunkan dosaku. Tidak ada yang menghubungiku ketika aku memutuskannya.
    Tidak ada yang menutup aibku dan aku tidak aman apabila dia telah marah kepadaku. Maka aku sangat berbimbangbimbang dengan mereka itu.
  3. Sesungguhnya tidak ada yang lebih mulia dari seorang alim yang warak.

J. IMAM AHMAD

Jangan kamu mengambil ilmu dari orang yang mengambil upah di atas ilmunya.

K. SUFYAN BIN AINAH

  1. Dua perkara yang susah sekali mengubatinya iaitu meninggalkan
    loba (tamak) untuk manusia dan mengikhlaskan
    amal untuk Allah.
  2. Siapa yang ditambah akalnya kuranglah rezekinya.
  3. Zuhud di dunia itu ialah sabar dan menunggu-nunggu kedatangan
    mati.
  4. Ilmu itu jika tidak memberi manfaat padamu maka dia akan
    memberi mudharat padamu.
  5. Tidak dianggap orang yang berilmu itu berakal selagi dia
    tidak melihat dirinya hina.

L. LAIN-LAIN PESANAN

  1. Surat dari ibu Aisyah r.ha. untuk Khalifah Muawiyah berbunyi
    begini:
    Aku dengar Rasulullah SAW bersabda:
    “Siapa yang mengusahakan keredhaan Allah sampai dikesali manusia, dia akan disokong Allah dalam menghadapi manusia. Dan siapa yang membelakangkan Allah agar disenangi manusia, nasibnya akan diserahkan Allah pada manusia itu.”
    Oleh itu tetaplah hati tuan dalam takut pada Allah kerana bila tuan takut pada Allah, Dia akan menyokongmu terhadap manusia. Tetapi kalau tuan takut pada manusia, mereka tidak akan dapat menolongmu terhadap Allah.
  2. Luqmanul Hakim menasihati anaknya:
    “Wahai anakku, dampingi selalu para ulama dan jangan engkau banyak berdebat dengan mereka supaya tidak dibenci oleh mereka.”
    “Ambillah dunia sekadar keperluan dan selebihnya belanjakanlah untuk Akhirat. Dunia jangan ditolak habis agar engkau tidak jadi parasit (hidup menumpang) yang membebankan orang lain.”
    “Selalu-selalulah berpuasa untuk menundukkan nafsumu, tetapi janganlah sampai meletihkan badan sehingga terganggu ibadah sembahyang kerana sembahyang lebih utama dari puasa. Janganlah kamu berkawan dengan orang yang bodoh sombong dan bermuka dua.”
  3. Seorang ulama salaf berkata:
    “Setiap hamba yang berbuat dosa, bumi tempat dia berdiri meminta keizinan Tuhan untuk membenamkannya dan langit yang di atas kepalanya memohon izin untuk gugur menimpanya, tetapi Tuhan berfirman pada langit dan bumi itu: “Tahanlah bahaya untuk hamba-Ku itu dan beri dia tempoh. Mungkin dia akan bertaubat kepada-Ku lalu Aku ampunkan dan mungkin sahaja dia mengganti kerja buruknya dengan amalan yang baik lalu Aku gantikan dosanya dengan pahala.”
    Inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah:
    Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menahan langit dan bumi dari terjatuh dan kalau keduanya terjatuh, tiada seorang pun yang mampu menahannya selain dari Dia.” (Fathir:
    41)
  4. Yahaya bin Muaz r.a. berkata:
    “Malang sekali nasib keturunan Nabi Adam, kalau mereka cemas dengan Neraka seperti cemaskan kemiskinan tentulah mereka akan masuk Syurga.”
  5. Setengah ulama salaf bermunajat begini:
    “Ya Allah, generasi mana yang tidak membuat kederhakaan pada-Mu namun Engkau tetap memberi rezeki kepada mereka. Sesungguhnya Maha Suci Engkau dan Maha Penyantun.
    Demi kemuliaan-Mu, Engkau diderhakai manusia namun Engkau tetap menghujankan pemberian dan rezeki bagaikan Engkau tidak pandai marah, ya Tuhan kami.”

sumber : http://kawansejati.ee.itb.ac.id/31-kata-kata-hikmah-orang-orang-soleh

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s